Tuesday, May 27, 2014

Sebelah Hati Dicuri

Cerita ini adalah rekaan semata-mata.

Duhai Tuhan,
Jika dengan melepaskan cintaku maka aku akan memperolehi kewarasanku,
Maka biarkanlah aku menjadi begini seumur hidupku.

Duhai Tuhan,
Andai mampu ku meminta pada-Mu saat ini,
Ku ingin Kau ambil seluruh cinta yang ada pada diriku,
Biarlah ku hidup tanpanya.

Duhai Tuhan,
Meskipun telah bertahun dia mengikat tali cintaku tanpa sebuah makna,
Biarkanlah cinta ini terus mekar dan merekah,
Meskipun aku telah layu dan mati.


       Di dada langit tidak banyak bintang yang muncul. Cuma ada beberapa dengan jarak yang agak jauh antara satu sama lain. Bulan mengambang penuh. Cahayanya menyimbah ke seluruh alam. Betapa besarnya kurniaan Ilahi kepada hambaNya. Kala diri mengagumi kebesaran Pencipta, memori semalam menggamit kotak fikirannya.
       Afiq! Ya, lelaki itu! Muhammad Afiq Haikal. Namanya seindah wajahnya yang bersih itu. Tak pernah terlintas di fikiran Ain untuk bertemu seorang yang sangat istimewa sepertinya. Seseorang yang sangat sempurna di matanya. Lantas peristiwa yang telah setahun berlalu kembali berlegar di ruang matanya.
Setahun lalu…..
     “Ouch! Woi, apa ni? Tak nampak ke orang yang punya besar ni! tengking Ain. Bahunya terasa amat sakit setelah dilanggar oleh lelaki itu.
     “Sorry tak sengaja. Awak okey ke?” tanya lelaki itu.
     “Hmm.., “balas Ain pendek.
       Ain ingin berlalu pergi tetapi pergerakannya terhalang kerana lelaki itu berada di hadapannya. Lelaki tersebut memandang Ain tanpa berkedip. Ain sekali lagi naik angin.
      “Excuse me,” ucap Ain apabila lelaki itu masih menghalang laluannya.
        Lelaki tersebut masih tegak di situ. Matanya masih memandang Ain. Ain semakin sakit hati dengan perlakuan lelaki itu.
      “Woi, tepi la sikit! Orang nak lalu ni. Yang tegak berdiri macam tugu negara ni kenapa?” tengking Ain sekali lagi.
      “Opps, maafkan saya,” ucap lelaki itu sambil beralih jauh sedikit daripada Ain. Tutur katanya cukup lembut jika dibandingkan dengan Ain.
        Sambil berlalu pergi, Ain masih lagi merungut tentang lelaki yang melanggarnya sebentar tadi. Hatinya masih sakit dan dalam masa yang sama dia turut berasa hairan.
      “Tak guna betul mamat tu tadi. Tak nampak ke aku yang besar ni. Nak kata buta tak juga. Pakai cermin mata. Dah la aku marah pun takde respon. Takde perasaan agaknya dia tu,” gumam Ain sendirian.
        Dalam masa yang sama, lelaki itu masih memikirkan tentang gadis yang dilanggarnya sebentar tadi. Fikirannya tak henti-henti mengingati gadis itu. Firasatnya kuat mengatakan ya tapi hatinya menafikan sekeras-kerasnya. Ingin saja dia mengejar gadis itu tapi langkahnya kaku.
      “Tak mungkin dia,” desis hati lelaki itu. “Ah, tak mungkin dia,” kata lelaki itu sekali lagi sebaik saja tiba di keretanya. “Tapi kalau bukan dia, siapa gadis itu? Tak mungkin muka mereka sama,” tambah lelaki itu. Fikirannya rungsing memikirkan siapa sebenarnya gadis yang dilanggarnya tadi.
        Lelaki itu cuba untuk membuka pintu keretanya tapi tidak berhasil. Dicubanya sekali lagi. Masih tidak boleh. Dia terus mencuba dan tiba-tiba datang satu suara dari arah belakang.
       “Hey, pencuri! Nak curi kereta aku ya!” jerit suara itu.
       “Pencuri? Siapa pencuri? Ini kereta saya la,” ujar lelaki itu.
       “Huh, mamat ni lagi,” keluh suara tadi.
       “Awak? soal lelaki itu.
       “Apa awak-awak? Dah la tadi awak langgar saya, sekarang awak nak curi kereta saya pulak ke?” soal Ain.
       “Kereta awak?” Tanya lelaki itu semula.
       “Ye, kereta saya. Muka saya ni macam pencuri kereta ke? Lainlah awak tu,” perli Ain. Tanpa membuang masa Ain segera menekan alat penggera keretanya. Ternyata kereta itu miliknya.
        “So kereta siapa sekarang? Awak atau saya?” tambah Ain. Dia ingin pergi dari situ segera. Makin lama dia di situ, makin bertambah sakit hatinya.
          Lelaki itu masih tidak puas hati dan berlalu ke bahagian hadapan kereta. Dia membongkokkan sedikit badannya. Mukanya bertukar kemerahan. Tahulah dia memang tersalah kereta.
        “Itulah, aku cakap tadi tak nak percaya. Sekarang rasakan sendiri,” bisik Ain sambil tersenyum sinis.  
        “Ok, fine ni kereta awak. Saya tak perasan tadi,” ujar lelaki itu.
        “Whatever,” balas Ain pendek. Ain masuk ke dalam keretanya. Dia ingin segera pergi dari situ. Tetapi masih ada yang menghalangnya. Lelaki itu masih berdiri di hadapan keretanya.
        “Dia ni memang suka jadi tugu agaknya. Takpun ada nyawa spare. Dah cukup kuat gamaknya,” rungut Ain. Tanpa membuang masa dia terus keluar dari keretanya.
        “Awak tepi sikit boleh tak? Saya nak lalu ni. Nanti tak pasal-pasal saya masuk penjara sebab kesalahan membunuh,” ujar Ain. Masih tiada respon dari lelaki tersebut. Dia masih tegar di situ. Matanya setia memandang Ain. Ain mula gelisah.
        “Kenapa dengan dia ni? Kenapa dia pandang aku macam tu? Dia nak buat apa kat aku”, bertalu-talu soalan menerjah fikiran Ain.
         Ain memberanikan diri menghampiri lelaki itu. Dia melambai-lambaikan tangannya di hadapan muka lelaki itu. Masih tiada respon. Kesabaran Ain makin menipis. Tanpa disedari..
Pangg! Satu tamparan singgah ke muka lelaki itu.
        “Kenapa awak tampar saya?” ucap lelaki itu. Nadanya agak tinggi.
        “Sebab awak tak nak pergi dari sini. Saya nak balik,” marah Ain
        “Balik je la. Takde siapa nak larang awak,” balas lelaki itu. Lagaknya seolah-olah dia tidak bersalah.
        “Macam mana saya nak balik kalau awak berdiri kat sini. Awak nak saya langgar awak ke? Ataupun awak dah cukup amalan agaknya untuk mati awal,” balas Ain kembali. Hatinya semakin berapi. Ingin saja dia menampar lelaki itu sekali lagi.
        “Maafkan saya,” ujar lelaki itu. Nadanya sedikit kendur.
        “Yela,” balas Ain. Dia memusingkan badannya untuk kembali ke keretanya.
        “Emm..awak,” ucap lelaki itu tiba-tiba.
        “Huhh, apa lagi?” bentak Ain
        “Saya Afiq. Muhammad Afiq Haikal,” lelaki itu memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan salam.
        Ain memandang sepi huluran dari lelaki itu. Dia tak punya masa untuk berkenalan dengan lelaki itu. 
        “Takpe la kalau awak tak sudi. Saya cuma nak kawan dengan awak,” kata lelaki itu seakan merajuk.
        “Baiklah saya Ain. Nur Ain,” balas Ain.
        “Nice name,” ucap lelaki itu tanpa disedari.
        “Thanks,” balas Ain pendek.
        “Ini kad saya. Kalau awak sudi hubungilah saya,” Afiq menghulurkan kad bisnesnya kepada Ain.
        “Ok. Kalau saya ada masa saya hubungi awak. Saya balik dulu ye. Dah lewat ni. Nanti mama saya risau pulak,” ucap Ain sejurus dia mengambil kad dari tangan Afiq.
        “Ok, tapi jangan lupa hubungi saya,” balas Afiq sekali lagi mengingatkan Ain.
          Afiq memerhatikan kereta Ain berlalu pergi. Dia hanya bergerak selepas dia pasti kereta Ain benar-benar pergi dari ruangan matanya. Fikirannya kembali memikirkan sesuatu.

***************************************************************************

          Ain tidak tahu apa yang ingin dilakukannya. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu dalam begnya itu. Setelah jumpa yang dikehendakinya, Ain tersenyum sendiri.
          Baik aku kacau mamat ni,” desis hati Ain. Tanpa membuang masa, Ain segera mencapai telefon bimbitnya lantas mendail nombor yang tertera pada kad di tangannya. Setelah lama menunggu, panggilan Ain akhirnya berjawab. Kedengaran suara seorang lelaki di hujung talian.
          Lamunannya terhenti apabila telefonnya mula menyanyikan lagu now your gone nyanyian Basshunter meminta untuk diangkat. Nombor yang tidak dikenali tertera pada skrin telefon. Mungkin klien, desis hatinya.
         “Helo,” ujar suara tersebut. Malas saja bunyinya.
         “Helo. Boleh saya bercakap dengan  Afiq?” tanya Ain
         “Afiq bercakap, Siapa tu?” tanya Afiq kembali. Dia tidak gemar tidurnya diganggu. Walaubagaimanapun, dia tetap menjawab seikhlas mungkin.
         “Afiq, Ain ni. Ingat lagi tak?” soal Ain. Tiba-tiba dia malu sendiri.
         “Ain? Ain yang mana ya?” tanya Afiq. Dia kurang pasti tentang Ain yang dimaksudkan. Banyak perempuan bernama Ain dikenalinya.
         “Ain yang awak langgar dekat shopping complex hari tu. Ingat lagi tak?” ujar Ain. Dia berkira-kira untuk mematikan talian jika Afiq tidak dapat mengingatinya.
         “Oh, Ain. Fiq ingatkan Ain klien Fiq,” Afiq bersuara riang. Rasa mengantuknya hilang tiba-tiba.
         “Afiq apa khabar? Maaflah Ain ganggu Afiq pagi-pagi ni,” ucap Ain. Rasa bersalah tiba-tiba menerpa.
         “Eh takde la. Fiq dah bangun pun,” balas Afiq.
         “Ada apa Ain telefon Fiq?” soal Afiq selepas kedua-duanya senyap.
         “Takde apa-apa, Ain bosan duduk rumah. Tak tau nak buat apa,” rungut Ain. Manja saja bunyinya.
         “Ain tak..,” baru saja Afiq ingin bertanya tetapi talian sudah dimatikan.
         “Ain!” panggil Puan Rose sambil mengetuk pintu bilik anak kesayangannya.
         “Ya, mama,” balas Ain. Kepalanya terjonggol di muka pintu dengan senyuman yang masih tidak lekang.
         “Ain buat apa sampai mama panggil pun tak dengar?” soal Puan Rose kehairanan.
         “Telefon kawan tadi yang Ain pernah cerita dekat mama hari tu,”ujar Ain.
         “Oh, Afiq tu ke. Mama dah siap hidang ni, jom kita turun makan sama-sama, ”kata Puan Rose. Dia juga sudah mengenali Afiq dek terlalu kerap Ain bercerita tentang Afiq kepadanya.
         “Okey, kejap lagi Ain turun,”balas Ain dengan  sengihan nakal. Puan Rose hanya menggeleng melihat gelagat anaknya.
          Tidak lama kemudiaan, Afiq mendapati tertera satu mesej diterima. Mesej tersebut dihantar oleh Ain.

Fiq, sorry tak dapat sembang lama. Mama Ain panggil tadi. Nanti jika ada kelapangan Ain telefon Fiq lagi.  -Ain-

***************************************************************************  
    
           Hari ini adalah hari yang paling istimewa buat Afiq. Ini kali pertama dalam sejarah hidupnya dia membuat sesuatu yang tak pernah terlintas difikirannya. Entah mengapa dia sanggup bersusah payah demi mengembirakan hati seseorang. Sungguh aneh tetapi itulah hakikat sebenarnya.
         “Assalamualaikum,” laung Afiq dari luar pagar.
         “Waalaikumusalam,” sahut Puan Rose. Dia segera membuka pintu pagar dan menjemput Afiq masuk.
         “Afiq duduk dulu ye, mak cik panggilkan Ain kejap,” ujar Puan Rose.
          Dengan tergopoh gapah Ain keluar dari biliknya. “Kenapalah dia datang awal-awal pagi macam ni,” desis hatinya sendirian.
        “Kenapa datang tak bagitau?” rungut Ain.
        “Saja, saya nak ajak awak keluar,” balas Afiq selamba tanpa rasa bersalah.
        “Hah, keluar? Nak pergi mana?” tanya Ain dengan mulut yang tenganga kerana terkejut.
        “Adalah. Jangan banyak tanya boleh tak. Pergi siap cepat,” arah Afiq.
        “Eh!eh! suka hati dia je nak arah orang itu ini,” balas Ain.
        “Saya tak kira dalam masa sepuluh minit awak mesti dah ada dekat luar. Saya tunggu dalam kereta. Lambat tinggal!” ugut Afiq.
        “Yelah. Tak menyempat betul la dia ni,” rungut Ain. Dia lantas bangun meninggalkan ruang tamu. “Dia ingat aku ni robot ke boleh siap sepantas kilat. Ish, masalah betul mamat ni,” desis hatinya. Tanpa membuang masa dia terus menaiki anak tangga.
          Afiq dan Puan Rose saling berpandangan. Puan Rose mengenyitkan mata. Afiq membalas dengan isyarat ok. Mereka tergelak jahat. Nampaknya apa yang dirancang berjalan dengan lancar. Sejurus itu Afiq meminta diri untuk keluar.
       “Pon…pon…” Afiq menekan hon keretanya beberapa kali.
       “Sekejap!” Sahut Ain dengan kelam kabut. Dia tersentak dek bunyi hon yang memaksanya untuk bersiap dengan pantas. Ain segera meminta izin mamanya terlebih dahulu sebelum keluar.
        “Mama, Ain pergi dulu,” ujar Ain. Dia melambaikan tangan ke arah mamanya.
        “Jaga diri elok-elok. Jangan balik lambat sangat,” pesan Puan Rose kepada mereka berdua.
        “Baiklah, kami pergi dulu,” kata Afiq.
         Puan Rose hanya menghantar kelibat kereta Afiq dengan ekor matanya sehingga hilang daripada pandangannya. Dia terus merencanakan rancangannya.
         Kereta yang dipandu Afiq terus meluncur laju menuju ke lebuh raya. Kedua-duanya senyap tanpa sepatah kata. Ain hanya memerhatikan pemandangan sekeliling. “Eh, jalan ni macam pernah aku tengok. Dia nak bawa aku ke mana ni,” desis hatinya.
        “Awak ni dari tadi asyik tengok tingkap tu sampai nak tembus kenapa?. Tak pasal-pasal pecah tingkap kereta saya ni,” Afiq memulakan bicara.
        “Kita nak ke mana ni? tanya Ain yang agak kebingungan.
        “Jangan risau, saya takkan jual awak,” balas Afiq selamba. Suka betul dia melihat muka Ain yang merah menahan marah.
        “Eii, tak boleh cakap betul-betul ke?” kata Ain sendirian tapi masih boleh didengar oleh Afiq.
        “Saya nak bawa awak jumpa kawan-kawan awak la,” balas Afiq. Tak lama lagi mereka akan sampai ke destinasi yang dituju.
         “Zoo,” gumam Ain sendirian. Tapi kenapa dia bawa aku datang sini? Kali terakhir dia menjejakkan kaki ke sini 10 tahun yang lalu. Kini segalanya banyak berubah. Terpegun dia seketika.
         “Oii, cik kak berangan lagi ke? Takkan teruja jumpa kawan-kawan kot,” tegur Afiq setelah selesai membayar tiket di kaunter. Lamunannya terhenti. Ain terkocoh-kocoh mengekori Afiq dari belakang. Mereka mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja memandangkan kereta api yang disediakan sudah sesak dengan orang ramai.   
         “Awak berhenti kejap saya penat la,” keluh Ain. Sungguh dia tidak berdaya meneruskan lagi perjalanan yang dirasakan begitu jauh.
         “Baru berjalan sikit dah penat. Tak makan ke? tanya Afiq. Dia mengeluarkan sebotol air mineral dan biskut dari dalam beg. Lantas dihulurkan kepada Ain.
         “Thanks,” Ain hanya tersengih. Tanpa berlengah dia terus mencapai air mineral dan biskut dari tangan Afiq.
          Mereka menyambung semula perjalanan yang terhenti. Ain begitu teruja melihat pelbagai spesis binatang di situ. Daripada pegang, bagi makan sehinggalah persembahan binatang semua ingin dicubanya. Naik pening kepala Afiq apabila terpaksa melayan segala kerenahnya. Afiq pula hobinya asyik menjadi tukang  mengambil gambar di sepanjang perjalanan. Banyak gambar kenangan mereka bersama.
        “Awak berhenti kejap,” kata Afiq.
        “Hah, kenapa pulak,” tanya Ain. Hairan dengan tindakan Afiq yang berhenti secara tiba-tiba.
        “Saya nak ambil gambar awak dengan kawan awak tu…hahaha,” Afiq menunjuk ke arah orang utan itu, tawanya masih berbaki.
        “Ish,tak nak la saya,” balas Ain gaya tidak berminat.
        “Ala kejap je, please,” balas Afiq seolah-olah merayu.
        “Ok, tapi awak kene belanja saya makan aiskrim. Boleh?” tanya Ain. “Nasib la siapa suruh bawa aku berjalan,” desis hatinya.
         “No problem,” balas Afiq. Dia terus mengambil gambar dari pelbagai sudut. Ain hanya menurut permintaannya.
         “Awak saya nak aiskrim,” kata Ain sambil menuju ke tempat penjual aiskrim itu.
         “Ambil la, lepas tu bayar sendiri,” balas Afiq dengan senyuman sinis.
.        “Tadi awak cakap nak belanja saya, tipu la,” rungut Ain rasa tidak puas hati.
         “Ye la, awak nak aiskrim apa?” tanya Afiq.
         “Saya nak perisa coklat,” balas Ain keriangan.
     Mereka duduk di bawah rimbunan pokok sambil menikmati aiskrim. Setelah hampir tiga
jam berada di zoo, Afiq mengajak Ain pulang.
 Keadaan rumah Puan Rose sunyi sepi. Ain meninjau sekitar rumahnya. “Mana semua orang,” desis hatinya kehairanan. Dia membuka kunci pintu rumah lalu memulas tombol pintu. Tiba-tiba kedengaran orang menyanyikan lagu ‘Happy Birthday’ dari dalam rumah. Ain terkejut kerana tidak menyangka hari jadinya diraikan.
     “Surprise!” ucap semua orang.
Puan Rose membawa kek hari jadi ke arah Ain untuk dipotong sambil diperhatikan oleh semua tetemu jemputan. Rata-rata antara mereka merupakan teman-teman Ain.
     “Selamat hari lahir, Nur Ain. Semoga awak panjang umur, dimurahkan rezeki,diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan. Saya akan sentiasa doakan yang baik-baik untuk awak. Nah, untuk awak,” ujar Afiq. Dia menghadiahkan Ain sejambak bunga tulip.
     “Wah, terima kasih,” balas Ain dengan begitu teruja. Bunga tulip adalah bunga kesukaannya. Bagi dia bunga tulip mempunyai sentimental value yang tersendiri.
     “Oh, patutlah saya rasa pelik je hari ni. Macam ade yang tak kene je,” rungut Ain dengan nada geram.
     “Kira okey apa? Sekurang-kurangnya saya tak buat jahat lebih dari itu,” kata Afiq bersahaja.
         “Dah besar anak mama ni, Selamat Hari Jadi sayang,” ucap Puan Rose sambil  memeluk anaknya itu.
  Pelbagai juadah istimewa yang disediakan oleh Puan Rose buat anak kesayangannya. Masing-masing menikmati suasana majlis dengan gelak tawa para tetamu yang hadir. Sambutan ulangtahun Ain pada kali ini sungguh meriah dan bermakna.

***************************************************************************

          Hari-hari mendatang semakin membahagiakan Ain. Hubungannya dengan Afiq semakin akrab. Mereka sering bertukar-tukar cerita dan berkongsi masalah. Sehinggalah pada suatu hari itu….
      Deruan ombak yang menghempas batu. Angin yang bertiup bersepoi-sepoi menyapa gegendang telinganya. Suasana nyaman yang mendamaikan membuatkan Ain berasa tenang. 
         “Kenapa awak bawa saya datang sini?” tanya Ain.
         “Saja, tenangkan fikiran.” balas Afiq.
         Keindahan ciptaan Tuhan mempersonakan mata yang memandang. Lama mereka mendiamkan diri mengamati panorama alam. Mereka hanyut melayan perasaan sendiri.
         “Fiq, Ain nak tanya sesuatu boleh?” ujar Ain memulakan bicara.
         “Apa dia? Tanya je la,” balas Afiq.
         “Fiq ingat tak masa mula-mula kita jumpa dulu? Fiq pandang Ain semacam je. Seperti ada sesuatu. Boleh Ain tahu kenapa Fiq pandang Ain macam tu?” soal Ain. Persoalan inilah yang selalu bermain difikirannya.
        “Emm, takde apa-apa la. Suatu hari nanti Ain akan tahu jugak tapi bukan sekarang,” balas Afiq. Dia sama sekali tidak menyangka soalan itulah yang akan ditanya oleh Ain.
        “Tapi..,” belum sempat Ain menghabiskan bicaranya, Afiq sudah jauh meninggalkannya di belakang. Ain terpinga-pinga. “Ish..dia ni suka sangat tinggalkan aku,” desis hatinya. Dia mengatur langkah meninggalkan tempat itu.

***************************************************************************

          Kini sudah masuk bulan ketiga sejak peristiwa hari itu berlaku. Afiq tidak lagi menghubungi Ain. Malah panggilan dari Ain juga tidak berjawab. Afiq seolah-olah merajuk dengan Ain. Ain berasa sangat menyesal dengan perbuatannya, Jika dia tidak bertanya tentang hal tersebut, pasti perkara seperti ini tidak berlaku. Ain seringkali menyalahkan dirinya atas semua yang berlaku. Tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam di luar rumah. Ain melangkah keluar.
         “Ya, cari siapa?” tanya Ain.
         “Cik ni Cik Ain ke?” soal lelaki itu.
         “Ya, saya Ain. Ada apa encik cari saya?”
         “Saya datang untuk menyampaikan amanat orang. Ini untuk cik,” kata lelaki tersebut.
         “Untuk saya? Dari siapa?” tanya Ain sambil mengambil sampul dari lelaki itu.
         “Dari Encik Afiq,” ucap lelaki itu.
         “Afiq? Mana dia?” tanya Ain kepada lelaki itu.
         “Nanti cik akan tahu juga. Saya ada urusan lain. Saya pergi dulu,” ujar lelaki itu sambil berlalu pergi.
           Setibanya ke dalam rumah, Ain segera membuka sampul yang diterima dari lelaki yang tidak dikenalinya sebentar tadi. Terdapat sepucuk surat di dalamnya. Ain membaca isi kandungan surat itu penuh khusyuk.

Assalamualaikum..
        Ain apa khabar? Fiq harap Ain sihat selalu disamping keluarga tercinta. Pertama sekali Fiq nak mintak maaf banyak-banyak jika kehadiran surat ini mengganggu hidup Ain. Pasti Ain tertanya-tanya ke mana Fiq menghilang selama 3 bulan ni. Fiq ada di sini dan sering perhatikan Ain. Semasa Ain membaca warkah usang ini, Fiq sudah jauh dari Ain. Jauh sangat-sangat. Fiq sudah pun berada di alam abadi. Untuk pegetahuan Ain, Fiq menghidap leukimia yang sudah mencapai tahap kritikal. Kata doktor jangka hayat Fiq sudah tidak lama. Untuk itu Fiq nekad untuk menjauhkan diri dari Ain supaya Ain dapat membiasakan diri dengan ketiadaan Fiq dalam hidup Ain. Sebelum Fiq pergi, Fiq ingin menjawab soalan yang pernah Ain tanyakan pada Fiq dulu. Pasti Ain ingat lagi soalan itu kan? Sebenarnya Fiq pandang Ain begitu kerana muka Ain saling tak tumpah seperti rupa bekas teman wanita Fiq. Dia tinggalkan Fiq semasa dia mula-mula dapat tahu Fiq berpenyakit. Katanya, dia tak sanggup untuk terus bersama dengan orang yang hanya menunggu maut menjemput. Jadi bila Fiq jumpa Ain, Fiq ingat Fiq boleh balas dendam Fiq pada Ain. Tapi Fiq tak mampu sebab Ain baik sangat pada Fiq dan Fiq sayang sangat-sangat dengan Ain. Maafkan Fiq, Ain. Sekarang Ain dah dapat jawapan kan? Bolehlah Fiq pergi dengan aman. Fiq harap, selalulah Ain jenguk pusara Fiq dan hadiahkanlah Fiq surah al-Fatihah tiap kali Ain teringatkan Fiq. Janganlah Ain tangisi pemergian Fiq.

                                                                                                                                                        Yang benar
                                                                                                                                                             Afiq
                                              
                                                                                                                                                                                            
          Afiq Haikal. Namamu akan terus terukir dalam hati ini. Kenangan bersamamu akan terus mekar menjadi kenangan terindah dalam hidupku. Moga dirimu ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang diredhaiNya dan moga dirimu dicucuri rahmat dariNya. Al-Fatihah…

Kadangkala orang yang paling mencintaimu adalah orang yang tak pernah mengatakan cintanya padamu
Kerana orang itu takut kau berpaling dan menjauhinya.
Dan bila di suatu masa dia hilang dari pandanganmu.
Kau akan menyedari dia adalah cinta yang tidak pernah kau sedari.
                                                           
TAMAT